Selangor muncul juara Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan Kedah dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Pemain sayap Hazwan Bakri dijulang sebagai wira skuad Red Giants apabila menjaringkan kedua-dua gol buat pasukan pada minit ke-3 dan ke-48.

Seawal minit ke-3, Selangor mendahului dengan gol pertama melalui rembatan bergaya Hazwan selepas menyempurnakan hantaran lintang daripada pemaian import Guilherme de Paula.

Kedah dilihat cuba mengatur strategi untuk mengasak kubu lawan namun beberapa percubaan menemui jalan kecundang kerana dikecewakan barisan pertahanan Selangor.

Skuad pimpinan Mehmet Durakovic yang bersemangat beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Selangor telah menghadiahkan mereka dengan mempamerkan aksi dan taktik serangan yang baik.

Pada minit ke-48, gandingan penyudah yang sama juga membuahkan hasil sekali lagi apabila Hazwan merembat kencang hantaran de Paula lalu menembusi gawang, dan gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Firdaus Muhamad.

Terdahulu, Durakovic berkata beliau yakin dengan pasukan Red Giant memenangi piala berprestij itu untuk kali ke-33, sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada 2005 melalui kemenangan 3-0 ke atas Perlis di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ternyata, kelebihan beraksi di laman sendiri membantu Selangor menamatkan "Misi 33" mereka yang sekian lama tertangguh.

Susulan kejayaan tersebut, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin bagi seluruh negeri.