Juara Piala Dunia 2002 dari Brazil, Roberto Carlos dilantik menjadi duta global terbaharu syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Bekas pemain Real Madrid dan Inter Milan itu berkata, kerjasama ini seolah-olah mimpi yang menjadi kenyataan.

Sebagai duta global, Carlos bakal membawa imej AirAsia di persada dunia dalam pelbagai aspek penjenamaan.

Roberto Carlos (tengah) bersama CEO AirAsia Berhad, Riad Asmat dan CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail. - Foto ihsan AirAsia
"Saya rasa agak sukar untuk menjadikan AirAsia satu jenama (lebih) baik kerana ianya sudah pun terkenal. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AirAsia dan akan gunakan imej saya di seluruh dunia.

"Saya harap akan ada kerjasama baik antara kami dalam masa akan datang. Terima kasih kepada Tony Fernandes, beliau merupakan seorang yang hebat dan mempunyai imej yang baik di seluruh dunia. Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan beliau," kata Carlos ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia, Rudy Khaw, Carlos dipilih kerana mempunyai cerita yang sama dengan syarikat penerbangan itu, iaitu dengan usaha dan kegigihan, mimpi mampu menjadi realiti, menjadikan seseorang itu bergelar Juara Dunia.

Roberto Carlos bergambar bersama peminat di majlis pengumuman duta global terbaharu AirAsia pada Jumaat. - Foto ihsan AirAsia
"Di AirAsia, kami meletakkan diri kami di samping mereka yang mempunyai personaliti sama yang mendorong kami.

"Roberto Carlos mempunyai cerita sama dengan kami. Dia mula bermain di jalanan di Brazil dan memulakan karier bola sepak ketika berumur 12 tahun. Dia sangat bersungguh-sungguh untuk mencapai impiannya.

"Seperti kami juga, Carlos bekerja keras sehingga menjadi juara dunia apabila dia menjulang trofi Piala Dunia. Jadi kami rasa kami mempunyai sinergi sama dengan Carlos dan dia boleh bekerjasama dengan kami untuk memberi dorongan dan galakkan kepada anak muda mencabar dan mengejar impian mereka," kata Rudy kepada Astro AWANI.


Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Carlos menunjukkan bahawa apabila beliau inginkan sesuatu, beliau akan usaha sedaya upaya untuk mencapainya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat hadir ke majlis pengumuman tersebut, sebaliknya berucap melalui rakaman video.

Buat masa ini, kerjasama antara AirAsia dan Carlos bertempoh selama tiga tahun, namun ia bergantung kepada sinergi yang dihasilkan dalam masa akan datang agar ia boleh berpanjangan.

Diberi gelaran "The Bullet Man" kerana sepakan percumanya yang padu, Carlos telah mewakili Brazil dalam tiga kejohanan Piala Dunia FIFA, dan beliau juga sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.

Di peringkat kelab, beliau bermain untuk Real Madrid dan telah memenangi empat piala kejohanan La Liga Sepanyol serta Liga Juara Juara UEFA sebanyak tiga kali pada 1989, 2000 dan 2002.