Ketua jurulatih skuad hoki negara Roelant Oltmans akan menunggu keputusan undian Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebelum merangka strategi untuk pasukannya.

Walaupun mempunyai beberapa idea bagi persediaan pasukannya selepas siri ujian empat perlawanan menentang Korea Selatan dari 19-29 Sept, jurulatih dari Belanda itu berkata keputusan undian kelayakan yang diketahui pada Isnin ini akan menentukan laluan Malaysian Tigers ke Olimpik, kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik pada temasya Sydney 2000.

Malaysia bakal berdepan sama ada Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand atau Kanada.

Apa yang membimbangkan Roelant adalah keadaan cuaca memandangkan kedua-dua perlawanan akan dijalankan di tempat lawan, dijadual pada 25-27 Okt dan 1-3 Nov.

"Menentang mana-mana pasukan ini adalah sukar kerana harus bermain dua perlawanan di tempat lawan - sebagai pasukan bukan pilihan dan bermain di tempat yang asing. Ada beberapa perkara yang perlu kami pertimbangkan dan mempersiapkan diri sebaik mungkin.

"Ia juga adalah sesuatu yang sangat berbeza, bermain di utara Kanada (musim sejuk yang boleh mencecah sehingga lima darjah Celsius) atau di selatan, New Zealand (musim panas), kerana kedua-duanya mungkin. Sekiranya kita bermain di Eropah, cuaca adalah sejuk manakala hujan di England, tetapi di Valencia, Sepanyol, cuaca adalah sangat baik.

"Terpulang kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sedemikian," katanya apabila ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan di sini pada Rabu selepas rehat seminggu.

Bekas jurulatih pasukan Belanda dan India itu menjangkakan prestasi terbaik dari anak buahnya di Korea Selatan, untuk memastikan mereka layak berada dalam senarai akhir 18 pemain.

Selepas menggugurkan sembilan pemain daripada senarai awal 30 orang, bagi sesi semasa, Roelant dijangka mengeluarkan beberapa pemain lagi sebelum berlepas ke Korea Selatan.

"...bulan lepas, bulan yang sangat sukar. Saya faham pemain sangat letih (selepas Jelajah Eropah)," katanya, merujuk kepada prestasi buruk dalam siri ujian Ready Steady Tokyo.

"...Jelas, kami mahu memenangi kelayakan ini. Apa yang telah kami lakukan dalam beberapa minggu terakhir adalah memastikan kami mendapat banyak maklumat daripada kumpulan kami. Pertandingan menentang Korea sangat penting sebelum kelayakan," katanya.

Roelant juga mengesahkan tiga pemain yang cedera -- penjaga gol Mohd Hairi Abdul Rahman (lutut), penyerang Muhammad Firhan Ashari (lutut) dan pemain tengah Haziq Samsul (hamstring) -- terlepas kelayakan walaupun mereka kini boleh menjalani latihan ringan.

-- BERNAMA