Tutup

Berita  | Sukan

Ronaldo gagal sempurna penalti, Portugal hampir gigit jari (Portugal 1-1 Iran)

Ronaldo gagal sempurna penalti, Portugal hampir gigit jari (Portugal 1-1 Iran)
Quaresma meraikan gol pertama Portugal dengan Ronaldo ketika perlawanan menentang Iran di Mordovia Arena di Saransk, Rusia pada Isnin. - REUTERS
SARANSK: Portugal mara ke pusingan kalah mati biarpun sekadar seri dengan Iran dalam pertembungan dramatik yang dipenuhi kontroversi video assistant referee (VAR) atau pengadil bantuan video di Saransk.

Iran dilihat lebih garang dalam usaha mereka memenangi perlawanan tersebut untuk melakar sejarah melangkah ke pusingan 16 terakhir, dengan mempamer corak permainan bertempo laju dan serangan balas bahaya namun tumpul di bahagian penyudah.
Gol menakjubkan Ricardo Quaresma pada minit terakhir separuh masa pertama menyentak anak buah Carlos Queiroz, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menggandakan usaha pada babak kedua.

Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan penalti yang diberi selepas pengadil Enrique Caceres merujuk VAR apabila sensasi Real Madrid itu dijatuhkan pada minit ke-52, gagal menambah pendahuluan pada separuh masa pertama.
Nasib kurang baik Ronaldo berterusan apabila pada minit ke-83, dia bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning selepas semakan VAR mendapati dia tersiku muka Morteza Pouraliganji.

Kegagalan dan kecuaian itu akhirnya dihukum Karim Ansarifard yang tidak seperti Ronaldo, mudah meledak gol penyamaan pada minit ketiga masa tambahan dari titik penalti yang diberikan selepas semakan VAR melihat bola mengenai Cedric Soares.

Enam minit masa tambahan diberikan, Iran memanfaatkan setiap saat daripadanya dengan serangan berterusan dan hampir melakar sejarah namun rembatan Mehdi Taremi sekadar ke sisi jaring pada penghujung perlawanan.

Dengan Sepanyol berjaya menyelamatkan diri daripada tersingkir dengan bantuan jaringan penyamaan Iago Aspas lewat permainan menentang Maghribi dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Iran terpaksa mengucapkan selamat tinggal dengan mengutip empat mata, hanya satu mata di belakang Portugal dan Sepanyol yang kedua-duanya layak ke pusingan seterusnya.

Naib juara Kumpulan B, Portugal akan bertemu juara Kumpulan A pada 1 Julai jam 2 pagi.