JOSE MOURINHO memberi maklum balas mengenai spekulasi masa depan penyerang Manchester United, Wayne Rooney, dengan mengumumkan Ashley Young mungkin meninggalkan Old Trafford sebelum tarikh akhir perpindahan pemain esok.

Kapten dan pemegang rekod penjaring terbanyak United, Rooney, muncul bintang terbaru yang dikaitkan akan berhijrah ke Liga Super China.

Apabila ditanya mengenai situasi Rooney selepas menewaskan Wigan Athletic 4-0 dalam pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi, Mourinho menyatakan satu-satunya pemain yang mungkin keluar daripada skuadnya adalah Young.

Pemain berusia 31 tahun itu menyertai United dari Aston Villa pada 2011 dan telah dihadkan kepada empat perlawanan skuad senior musim ini.

Mourinho menegaskan hasratnya untuk mengekalkan pemain tetapi menjelaskan dia mengetepikan Young daripada skuad dalam perlawanan menentang Wigan bagi mengelak pemain itu terikat dengan penampilan dalam kejohanan -- jika mendapat minat dari pasukan lain dalam Liga Perdana Inggeris.

"Satu-satunya pemain yang saya sedar mungkin meninggalkan pasukan -- dan saya menunggu sehingga esok untuk mengetahui apa yang sedang berlaku -- adalah Ashley Young," kata jurulatih dari Portugal itu.

"Dia seorang pemain yang saya gemar untuk simpan, tetapi dia mungkin pergi, sebab itu saya tidak turunkannya."

Schweinsteiger akan diberikan tempat dalam skuad Liga Europa United, dengan Morgan Schneiderlin dan Memphis Depay masing-masing akan ke Everton dan Lyon.

"Ya, dia (Schweinsteiger) kekal dan dia akan berada dalam senarai skuad Liga Europa kerana kami mempunyai kekosongan ditinggalkan Depay dan Schneiderlin," jelas Mourinho.

"Hari ini, 90 minit mungkin terlalu sukar untuk dia. Dari minit 65 hingga 70, ia agak sukar."