Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail nafi menawarkan diri untuk menjadi pengganti menggalas tugas sebagai presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas jawatan itu dilepaskan oleh Bibi Ramjani Ilias tiga hari lalu.

Sebaliknya, dia berpandangan, jawatan tersebut selayaknya disandang oleh individu yang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh dan semangat untuk mengembalikan maruah bola sepak Kelantan.

Katanya, KAFA berdepan masalah kewangan serta hutang dalam menguruskan pasukan Kelantan dan keadaan ini memerlukan peneraju yang berkemampuan serta mempunyai sokongan kewangan yang kukuh.

BACA: Bibi Ramjani letak jawatan Presiden KAFA

"Saya tidak kata saya tawar diri nak jadi Presiden, saya jelaskan kepada pemberita bahawa saya bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pencalonan dari Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ). Itu pun saya kena rujuk dan bincang dengan semua pihak termasuk keluarga, rakan-rakan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Rosmadi menjelaskan, sepanjang bersama KAFA suatu ketika dahulu, dia merasai bagaimana sukarnya untuk Presiden KAFA ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, menguruskan pasukan sehingga berjaya meletakkan Kelantan dalam tiga kejuaraan serta menjenamakan pasukan sehingga diminati rakyat tempatan.

Tegasnya, pada masa ini dia mahu menumpukan sepenuh tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM dengan sasaran meletakkan kejohanan berkenaan di era profesional.

Bagaimanapun, Rosmadi bersedia membantu dan memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih untuk menerajui KAFA, sekiranya diperlukan.