ENGLAND berjaya mara ke peringkat final Piala Dunia Ragbi 2019 selepas menundukkan New Zealand All Blacks dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Yokohama, Jepun itu menyaksikan pasukan 'favourite' All Blacks dikalahkan dengan keputusan 19-7.

Skuad bimbingan Eddie Jones berjaya mengekang kemaraan All Blacks pada separuh masa pertama selepas mendahului dengan 10-0.

England membuka perlawanan dengan tujuh mata menerusi try dari Manu Tuilagi pada minit ke-2, diikuti conversion oleh Owev Farrel pada minit ke-3.

Pasukan itu kemudian menamatkan separuh mata pertama dengan tiga lagi mata menerusi penalti dari George Ford pada minit ke-40.

Sebaik separuh masa kedua bermula, All Blacks menggandakan asakan namun gagal menembusi benteng pertahanan england yang tampak utuh.

Pada minit ke-50 Ford menjarakkan jurang mata selepas tendangan penaltinya menjadikan kedudukan 13-0.

Pada minit ke-57, New Zealand akhirnya berjaya mengutip mata menerusi try dari Ardie Savea, diikuti dengan conversion oleh Richie Mo'unga.

Bagaimanapun, mata yang diperoleh itu ternyata tidak mencukupi bagi All Blacks.

Pada minit ke-63 dan 69, Ford sekali lagi menyempurnakan penalti untuk pasukan England, menjadikan keputusan penuh perlawanan, 19-7.

Lawan England di aksi final pada 2 November akan ditentukan selepas keputusan separuh akhir kedua antara Afrika Selatan dan Wales yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.