Muhammad Safuan Mohd Asif mula terjebak dalam sukan gusti lengan apabila beliau diajak berlatih dengan pakciknya yang merupakan juara kampung, tetapi ketika itu beliau tidak sedar bahawa bakal menjadi antara yang terbaik dunia.

Selepas latihan bersama Nor Azmi Parman dan dua tahun mencuba, beliau muncul juara Kampung Tok Muda, Kapar, yang menjadi titik permulaan untuk menceburi sukan itu dengan mendalam.

Bagaimanapun, bakat Muhammad Safuan menarik perhatian apabila mendapat tempat kedua kategori Bawah-23 Tahun dalam Kejohanan Gusti Lengan Metro di Shah Alam pada 2013, ketika umurnya baru mencecah 16 tahun.

Muhammad Safuan yang kini berusia 22 tahun, kemudian muncul juara kebangsaan pada 2018, sebelum meraih kedudukan kelapan bagi kategori remaja 60 kilogram dalam Kejohanan Dunia di Antalya, Turki.

"Impian saya bagi tahun ini ialah untuk mendapat kedudukan tiga teratas, Insyallah saya boleh lakukannya. Teknik yang betul, kekuatan otot dan pemakanan merupakan asas yang penting dalam sukan ini," katanya kepada pemberita pada sidang media Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2019 di sini, pada Khamis.

Kejohanan tersebut di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Sabtu ini, merupakan satu-satunya kejohanan yang memberikan tiket kelayakan ke Kejohanan Dunia di Romania, hujung tahun ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm), Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata lebih 150 peserta terpilih dari 14 negeri akan mengambil bahagian dalam 17 kategori.

"Ini merupakan edisi kedua kejohanan ini dianjurkan di bawah MyArm, di mana sambutan pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu. Sukan ini agak baharu di Malaysia, tetapi terkenal luar negara, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga peserta dibayar gaji.

"Saiz fizikal tidak menjadi masalah dalam sukan ini kerana 70 peratus bergantung pada teknik dan selebihnya kekuatan otot. Jadi peserta kena banyak berlatih sesama sendiri untuk memperkuatkan tendon dan ligamen mereka," katanya.

Beliau berkata MyArm juga sedang berusaha untuk menganjurkan sukan itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) pada masa akan datang.

-- BERNAMA