Berita  | Sukan

Salah yakin ke Piala Dunia

Salah yakin ke Piala Dunia
Menerusi Twitter, Mohamad Salah (gambar) berjanji mengatasi masalah kecederaannya demi memperkuatkan negaranya dalam temasya Piala Dunia di Russia bulan depan.
BINTANG Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah, percaya dia akan bersedia untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018 meskipun mengalami kecederaan bahu ketika tewas 1-3 dalam final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, semalam.

Salah menangis apabila terpaksa dikeluarkan selepas 30 minit permainan di Kiev, Ukraine, selepas bergelut dengan kapten Madrid, Sergio Ramos.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memberitahu pemberita bahawa beliau gusar sekiranya pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan terlepas kempen bersama Mesir di Russia nanti.

Begitupun Persatuan Bolasepak (FA) Mesir membuat satu kenyataan yang menyatakan sebaliknya bahawa maklumat yang diterima daripada pasukan perubatan Liverpool mencadangkan Salah akan pulih tepat pada masanya.

Pelbagai pandangan mengenai tahap kecederaan Salah terus dipersoalkan semalam. Lebih-lebih lagi selepas Ketua Lembaga Sukan Arab Saudi dan Presiden Persekutuan Sukan Perpaduan Islam, Turki Al-Sheikh, mendakwa Salah akan diketepikan selama dua bulan.

Bagaimanapun, pemain itu sendiri memberi gambaran jelas mengenai situasi itu menerusi Twitter sambil berjanji untuk mengatasi masalah itu demi memperkuatkan negaranya dalam temasya itu, bulan depan.

"Ia adalah malam yang sangat sukar tetapi saya seorang pejuang," kata pemain berusia 25 tahun itu.

"Bagaimanapun, saya yakin akan berada di Russia untuk membuatkan kamu bangga.

"Cinta dan sokongan anda akan memberi kekuatan yang saya perlukan," ujarnya.

Mesir diundi dalam Kumpulan A di samping tuan rumah, Russia, Arab Saudi dan Uruguay.

Salah menyertai Liverpool dari AS Roma dengan harga £36.9 juta (RM195.6j) pada Julai lalu dan bekas pemain Chelsea itu membuktikan kemampuannya pada musim sulungnya bersama The Reds.

Sebanyak 44 gol diledakkannya untuk melayakkannya memenangi pelbagai anugerah, termasuk daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional dan Persatuan Penulis-Penulis Bolasepak.




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro