KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United mengikat khidmat Samir Nasri pada hari pemain warganegara Perancis itu tamat daripada penggantungan doping.

Nasri menandatangani kontrak bersama Hammers untuk sehingga hujung musim ini dan dibenarkan bermain bermula 1 Januari 2019.

“Kembali ke liga paling kompetetif di dunia, dengan pasukan yang penuh cita-cita dan pengurus yang saya kenali… adalah kerjaya yang terbaik di dunia, dan saya sangat teruja,” kata Nasri.

Bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu digantung selama 18 bulan kerana melanggar peraturan Agensi Anti-Doping Dunia.

Hukuman itu diterima pada 2016 ketika pemain berusia 31 tahun itu beraksi bersama kelab Sepanyol, Sevilla di mana dia menerima 500 mililiter suntikan hidrasi dalam bentuk air steril mengandungi komponen mikronutriet, yang melanggar had dibenarkan.

Nasri telah membuat 215 penampilan dalam EPL, bersama Arsenal dari 2008 hingga 2011 sebelum ke Manchester City dengan yuran perpindahan GBP25 juta.

Bersama City, Nasri menjulang dua gelaran juara ELP dan satu Piala Liga dalam tempoh enam tahun.

Di sana Nasri bermain di bawah kendalian Manuel Pellegrini, yang ketika ini merupakan pengurus West Ham, tetapi diketepikan sejak ketibaan Pep Guardiola dan kemudiannya dipinjamkan ke Sevilla.

Memetik kata Pellegrini dalam laman web Hammers, pengurus berusia 65 tahun itu menyatakan kegembiraannya untuk sekali lagi bekerja dengan Nasri.

“Dia telah berusaha keras dalam beberapa minggu ini untuk membina kembali kecergasannya selepas sekian lama tidak bermain, dan kini dia tekad untuk kembali ke prestasi terbaiknya.”

West Ham juga mempunyai pilihan melanjutkan kontrak Nasri untuk setahun lagi.