Pencapaian penembak muda negara, Eng Wei Jin masih jauh untuk memenangi pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun penampilan sulungnya pada temasya sukan itu memberinya pendedahan berharga.

Atlet berusia 16 tahun itu hanya menduduki tempat ke-18 dalam kelayakan 'double trap' lelaki selepas membidik 124 sasaran, namun beliau yakin untuk kembali bertenaga pada edisi temasya itu akan datang di Hangzhou, China.

Dalam acara lima pusingan melibatkan 30 tembakan dengan keadaan cuaca panas terik di Lapangan Menembak Jakabaring di sini hari ini, penembak kelahiran Johor itu membidik sasaran masing-masing 23, 26, 26, 24 dan 25, namun tahap saingan di Sukan Asia terlalu hebat baginya untuk meraih pingat.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian ini, kerana meraih keputusan tersebut selepas sekian lama tidak beraksi bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu memperbaiki dari segi kekuatan mental agar dapat menyesuaikan diri lebih baik dengan lapangan sasar itu dan juga ketika membuat bidikan.

"Saya juga gembira dapat bersaing dengan penembak kelas dunia dan Olimpik di sini. Kejohanan saya seterusnya adalah Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-42 di Taiwan dari 22 hingga 31 Okt. Saya berharap pengalaman beraksi pada Sukan Asia akan membantu saya melakukan terbaik di kejohanan itu," katanya kepada Bernama.

Wei Jin muncul juara termuda acara shotgun pada SEASA apabila meraih pingat emas acara 'double trap' individu lelaki di Lapangan Menembak Kebangsaan di Subang tahun lepas.

Sementara itu dalam saingan acara 'double trap' lelaki itu, pingat emas dimenangi penembak Korea Selatan Hyunwoo Shin yang membuat 74 bidikan pada aksi final, manakala pingat perak dan gangsa, masing-masing dimenangi penembak muda India berusia 15 tahun, Shardul Vihan (73) dan Hamad Ali Al Marri (53) dari Qatar.

-- BERNAMA