Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tujuan penyerahan 'pendrive' kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah bagi menyelesaikan masalah di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan bukanlah untuk menghukum FAM.

TMJ juga mahu agar individu-individu yang terbabit di dalam salah laku teknikal seperti dalam isi kandungan 'pendrive' itu berundur dengan cara baik tahun depan.

“Isi kandung dalam 'pendrive' yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.

“Saya berikan kepada YB Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga," katanya di dalam di Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) pada Sabtu.

Katanya lagi, sudah tiba masanya FAM memberi laluan kepada individu yang layak memikul tanggungjawab meneraju persatuan itu.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan pemacu pena atau 'pendrive' yang diberikan Tunku Ismail kepadanya, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

'Pendrive' yang mempunyai laporan sebanyak 279 halaman itu diserahkan kepada Khairy oleh Tunku Ismail pada 26 Ogos lalu.