JAGUH bina badan negara, Sazali Samad kecewa dikaitkan sebagai punca acara itu tidak dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sedangkan beberapa acara lain turut mempunyai rekod atlit positif doping.

Bina badan antara lima sukan yang digugurkan daripada senarai awal 34 acara Sukan SEA 2017.

Turut digugurkan adalah sukan kenu, lawan pedang, judo dan triatlon.

Bagaimanapun, bina badan curi tumpuan kerana dijangka mampu menyumbang dua pingat emas namun tidak dipertandingkan selepas Sazali didakwa punca kerana positif doping, tahun lalu.

Sazali nyata kecewa dengan dakwaan itu.

"Nak kata saya jadi punca sukan lain pun tidak dipertandingkan, pada saya dakwaan sebegitu sememangnya tidak adil.

"Tetapi kita perlu usaha untuk sukan bina badan disenaraikan balik kerana bila lagi kita akan dapat peluang untuk melihat sukan ini di Kuala Lumpur," jelasnya.

Sazali yang memegang rekod gelaran Mr Universe 10 kali didapati positif steroid tahun lalu lalu digantung empat tahun, dan kini sedang menunggu keputusan rayuan untuk mengurangkan hukuman terbabit.

Kali terakhir bina badan dipertandingkan ialah Sukan SEA Myanmar 2013 di mana Malaysia raih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.