Atlet bina badan negara Sazali Samad dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 Sept lepas, iaitu tarikh keputusan ujian, selepas didapati positif ujian doping.

Timbalan Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman berkata Sazali menerima keputusan tersebut tanpa bantahan dan atlet berusia 48 tahun itu juga tidak berhasrat membuka ujian sampel B.

Beliau berkata Sazali, yang telah 20 tahun mengharumkan nama negara, hanya menyedari makanan tambahan diambilnya mengandungi bahan terlarang selepas Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) mengeluarkan keputusan ujian berkenaan.

"Sazali juga tidak merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) tentang suplemen itu. Kita menerima penjelasan Sazali bahawa pengambilan bahan tersebut bukanlah disengajakan tetapi ekoran kecuaian beliau sendiri.

"Sazali adalah atlet bina badan yang sangat berdisiplin, beliau banyak mengharumkan nama negara. Kita faham, beliau sendiri juga kesal dengan apa terjadi...nasibnya tidak baik," katanya kepada pemberita di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi di sini hari ini.

VIDEO: Situasi Sazali Samad berbeza berbanding kes Lee Chong Wei

BACA: "Sazali tetap salah" - Malek Noor

Difahamkan, Sazali kini berada di Johor.

Ahmad Badrus berkata peluang Sazali dalam arena bina badan masih terbuka selepas tamat tempoh penggantungan kerana beliau boleh menyertai kategori senior atau masters.

"Sazali masih berlatih seperti biasa, beliau sangat berdisiplin. PBBM juga mempunyai atlet pelapis berbakat seperti Sazali...beri kami masa setahun," katanya.

PBBM melakukan ujian doping pada 1 Sept lepas, sebelum kontinjen negara berlepas ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49, dari 29 Sept hingga 5 Okt.

Untuk rekod, Sazali tidak pernah terkecuali melakukan ujian doping bersama Adamas, dan setiap tahun beliau akan diuji sekurang-kurangnya dua kali sebelum menyertai Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Beliau yang digelar 'Orang Besi Malaysia', juga pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.