SIAPA yang meminati sukan permotoran paling elit di dunia MotoGP sekitar era awal 90an pastinya akan ingat nama-nama jaguh zaman itu seperti Wayne Rainey, Kevin Schwantz, Luca Cadalora dan Mike Doohan.

Selepas era penguasaan Eddie Lawson, nama Wayne Rainey pastinya sentiasa segar di ingatan.

Mana tidaknya, itulah satu-satunya juara dunia MotoGP bagi kategori 500cc waktu itu yang mengakhiri kariernya di atas kerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan ketika berlumba di atas litar.

Peristiwa itu berlaku ketika berlangsungnya saingan Grand Prix di Misano, Itali pada 1993 setelah merangkul kejuaraan dunia sebanyak tiga kali.

Ketika mendahului perlumbaan jentera Yamaha dinaikinya kemalangan dan menyebabkan Rainey tercampak ke perangkap keselamatan batu pada kelajuan tinggi.

Impak daripada hentakan tersebut telah menyebabkan tulang belakangnya patah hingga menyebabkan beliau lumpuh dari paras dada ke bawah sekali gus mengakhiri perjalanannya dalam dunia MotoGP.

Sejak itu, Rainey tidak lagi mampu merasai kenikmatan menunggang motosikal sepertimana pernah dikecapinya sebelum ini.

Hampir keseluruhan hidupnya dihabiskan di atas kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari.

Namun selepas 26 tahun, legenda MotoGP itu akhirnya diberi peluang oleh Yamaha Moto USA untuk merasai kembali tunggangan yang dirinduinya apabila berjaya mengubahsuai YZF-R1 untuk Rainey.

Malah gear jentera itu juga diubahsuai di mana ia membolehkan Rainey menukar kelajuan gear menggunakan tangan.


Menerusi video yang dikongsikan oleh Rainey di Twitternya dan MotoAmerika, bekas juara itu mengakui berasa sedikit janggal sebaik menaiki jentera itu namun berjaya menyesuaikan diri selepas beberapa pusingan.

“Saya rasa berdebar-debar dan tak tahu apa yang nak dijangka. Pada awal ia agak janggal untuk mengendalikan motosikal.

"Beberapa pusingan awal ia (rasa) agak ganjil, tetapi selepas beberapa pusingan dan selepas berehat dan masuk ke litar balik, ia dapat dikendalikan.

"Selepas 26 tahun tidak menunggang dan tiba-tiba dapat naik R1, saya seakan muda kembali!” katanya.

Ketika insiden kemalangan pada 1993 itu, Rainey sedang mengejar kejuaraan keempat dunianya dan sedang mendahului perlumbaan tatkala dikejar oleh musuh utamanya ketika itu Kevin Schwantz daripada pasukan Suzuki.