Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal semalam mengumumkan senarai 22 daripada 25 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Piala AFF 2012 yang bermula esok.

Tiga pemain digugurkan iaitu Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak (penyerang), Irwan Fadzli Idrus (pertahanan) dan Mohd Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol).

Rajagobal berkata Mohamad Zaquan Adha terpaksa digugurkan disebabkan masalah kecederaan yang dialaminya ketika menentang Bangladesh pada perlawanan persahabatan Selasa lepas manakala dua pemain berkenaan digugurkan berdasarkan prestasi semasa latihan pusat yang dikendalikannya.

"Saya lihat prestasi mereka ketika menjalani latihan dan saya membuat keputusan berdasarkan apa yang saya perhatikan.

"Bagi saya yang lebih penting ialah seseorang pemain itu mampu beraksi lebih daripada satu posisi seperti Ahmad Fakri (Saarani) yang boleh bermain di sayap kiri dan kanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, semalam.

Beliau berkata selain pemain Felda United itu, penyerang pasukan Kedah Mohd Khyrill Muhymeen Zambri dan penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri turut memperlihatkan kemantapan di bahagian tengah dan juga sayap.

Pada masa yang sama, Rajagobal mengingatkan 22 pemain yang terpilih supaya memberikan fokus sepenuhnya kepada kesemua perlawanan yang bakal mereka hadapi pada Piala AFF nanti.

"Saya mahu pemain sedar bahawa perlawanan pada Piala AFF nanti bukanlah mudah terutamanya perlawanan pembukaan (Kumpulan B) dengan Singapura (pada Ahad ini)," katanya.

Terdahulu Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengadakan lawatan mengejut selama 30 minit bagi melihat sendiri sesi latihan skuad kebangsaan itu.

Tengku Mahkota Pahang itu yang ditemui pemberita melahirkan keyakinan bahawa gabungan muka lama dan baharu dalam skuad kebangsaan mampu memberikan keputusan positif pada Piala AFF nanti.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Singapura pada Ahad, berdepan Laos pada Rabu sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu Indonesia pada 1 Dis ini dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Senarai 22 pemain skuad kebangsaan

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohd Faizal Muhammad, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Azmi Muslim, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Wan Zack Haikal Wan Nor, Azamuddin Mohd Akil, S. Kunalan, Safiq Rahim (kapten), Mohd Shakir Shaari, Gary Steven Robbat, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Hazwan Bakri, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali.