BARCELONA mengesahkan gelaran La Liga Sepanyol yang ke-26 selepas menewaskan Levante 1-0 pada awal pagi Sabtu di Nou Camp.

Gol kemenangan dijaringkan Lionel Messi yang masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua, menggantikan Philippe Coutinho.

Messi menewaskan dua pertahanan Levante sebelum menyepak bola ke dalam gawang Levente, menewaskan penjaga golnya, Aitor Fernandez.

Bagaimanapun Levante nyaris menangguh kemenangan Barcelona apabila dua kali hampir mendapat gol penyamaan.

Jose Luis Morales berjaya melepasi pertahanan Barcelona di bahagian kiri padang namun percubaannya tersasar.

Percubaan Enis Bardhi di penghujung permainan pula terkena tiang sebelum diselamatkan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen.

Barcelona rai gelaran La Liga ke-26 di Nou Camp pada Sabtu. - REUTERS

Dengan kemenangan ini, Barcelona mengutip 83 mata selepas 35 perlawanan, sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Atletico Madrid.

Messi pula muncul pemain La Liga pertama yang memenangi 10 gelaran liga Sepanyol itu.

Ia juga merupakan trofi ke-34 yang dimenangi bintang bola sepak Argentina itu.