Tutup

Berita  | Sukan

Skuad B23 berdepan negara Timur Tengah sebagai persediaan Sukan Asia - Kim Swee

Skuad B23 berdepan negara Timur Tengah sebagai persediaan Sukan Asia - Kim Swee
Datuk Ong Kim Swee berpendapat, walaupun skuad negara menarik diri daripada Pra-Sukan Asia, beberapa siri perlawanan persahabatan menentang negara Timur Tengah mampu mempersiapkan pasukannya menghadapi cabaran Sukan Asia 2018. -BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad negara bawah 23 tahun (B23) bakal mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan negara-negara Timur Tengah sebelum berlepas ke Indonesia bagi saingan Sukan Asia 2018, Ogos depan.

Menurut Ketua Jurulatih Malaysia B23, Datuk Ong Kim Swee, skuad negara telah mendapat tawaran daripada beberapa negara Timur Tengah untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
“Beberapa pasukan Timur Tengah akan berpusat di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Indonesia. Jadi, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama mereka,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau menjelaskan, persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Asia 2018 tidak akan terganggu walaupun menarik diri daripada Pra-Sukan Asia 27 April ini.
“Jadual Liga Malaysia termasuk Piala Presiden masih lagi berjalan pada waktu itu.

“Oleh itu kita tidak mahu mengganggu perjalanan pasukan dalam liga dan kebaikan antara skuad negara dan pasukan kelab atau negeri juga perlu difikirkan,” jelas beliau.

Kim Swee yang baru sahaja pulang daripada latihan kejurulatihan di Atletico Madrid, Sepanyol, turut menjelaskan beberapa aspek latihan akan diterapkan kepada pasukan negara.

Ujarnya lagi, corak taktikal pasukan negara mungkin akan berlaku perubahan bergantung kepada situasi.

Beliau turut menyeru pemain B23 negara mengekalkan prestasi seperti Piala Asia lalu di China supaya mampu melangkah lebih jauh bagi saingan Sukan Asia tidak lama lagi.

Jelasnya, walaupun Sukan Asia adalah satu kejohanan yang berbeza kerana tiga pemain senior dibenarkan bermain tetapi, beliau tetap meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi saingan kejohanan itu.