Berita  | Sukan

Skuad badminton negara pamer aksi permulaan lemah

Skuad badminton negara pamer aksi permulaan lemah
- Pasangan bergu Mohd Arif Abdul Latif (kanan) dan Nur Mohd Azriyn Ayub meraikan kemenagan setelah berjaya menumpaskan pasangan Mohd Lufti Zaim Abdul Khalid dan Wong Fai Yin pada perlawanan separuh akhir Disember lalu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia yang menduduki pilihan kedua, menerima tamparan awal selepas tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Sukan Universiti Dunia ke-14 yang berlangsung di Palace of Sports di Borisoglebskiy, Rusia, Isnin.

Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Jepun melepasi pusingan seterusnya manakala Malaysia perlu berdepan Poland pada perlawanan pusingan akhir, lewat Isnin.
Japan sebelum itu menewaskan Poland 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, menurut laman web kejohanan itu; www.wucbadminton2016.com. 

Dalam perlawanan pertama menentang Jepun, pasangan beregu negara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Jagdish Singh Dhanoa tewas 17-21, 21-15 dan 15-21 kepada pemain Jepun, Kohtaro Miyajima/Masato Takano.

Jepun terus menjarakkan mata selepas Ayaho Sugino menewaskan Rui Chen Yap; 21-14 dan 21-18 dalam perseorangan wanita sebelum kedudukan itu dirapatkan semula oleh Zulfadli Zulkiffli menjadi 2-1 selepas menewaskan Toshimasa Tomioka; 17-21, 21-16 dan 21-12 dalam kategori perseorangan lelaki.

Bagaimanapun pasangan beregu wanita Jepun Sayaka Komiyama/Rena Miyaura terus menguasai perlawanan selepas menumpaskan Choi Mei Kuan/Goh Yea Ching; 21-18, 18-21 dan 21-19.

Pasangan beregu campuran negara, Shevon Lai Jemie/Muhammad Amzzar Zainuddin menyumbang mata kedua untuk Malaysia selepas mengenepikan pemain Jepun, Masahide Nakata/Momoka Terada; 21-15 dan 28-26. - BERNAMA