Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

Spekulasi tidak bawa kesan terhadap Martinez, kata pengurus Inter

Spekulasi tidak bawa kesan terhadap Martinez, kata pengurus Inter
Lautaro Martinez terjatuh ketika perlawanan Piala Itali antara Inter Milan dan Napoli di Stadium San Siro, Milan, Itali, 12 Feb, 2020. (Foto AP)
ANTONIO Conte yakin Lautaro Martinez tetap memberi perhatian sepenuhnya kepada Inter Milan di tengah-tengah spekulasi yang mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan.

Martinez menyinar ketika bergandingan di samping Romelu Lukaku pada musim ini dengan merekodkan 16 jaringan dalam semua kejohanan buat pemimpin Serie A itu.
Prestasinya itu telah mengundang minat beberapa kelab utama di Eropah apabila Barcelona dilaporkan ingin memancing pemain berusia 22 tahun berkenaan sebagai pengganti jangka panjang kepada Luis Suarez.

Conte, bagaimanapun, menolak cadangan bahawa anak buahnya itu akan terganggu dengan spekulasi masa depannya.
"Lautaro baru berusia 22 tahun tetapi dia sangat matang dan bijak mengendalikan situasinya," kata Conte dalam sidang media menjelang perlawanan menentang pencabar Serie A, Lazio.

"Khabar angin tidak membawa makna besar. Ia hanya cakap-cakap di media. Pemain saya tetap kekal fokus.

"Pemain tahu apa yang dituntut daripada mereka. Kami langsung tidak mempedulikan khabar angin. Pemain perlu fokus dengan aksi di padang."


Conte menegaskan fokus utama mereka adalah untuk terus mencabar kejuaraan liga meskipun percaya mereka akan menghadapi Lazio, yang mendahului Nerazzurri daripada segi perkembangan, awal pagi esok.

"Meraih kemenangan bukannya mudah khususnya di Itali. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya sebuah pasukan yang telah memenangi liga," tambahnya.

"Begitu juga senario di Perancis dan Jerman. Lazio telah memenangi trofi baru-baru ini dan ia memerlukan masa tetapi mereka masih mengekalkan skuad utama. Mereka bertambah mantap pada setiap tahun, mereka adalah sebuah pasukan yang ampuh dan mendahului kami dalam soal pembangunan.

"Lazio telah beraksi dengan baik dan perancangan merupakan aspek penting, begitu juga dengan kesabaran.

"Anda memerlukan masa dan kesabaran dalam bola sepak. Itulah satu-satunya cara untuk berkembang dan ia menjadi tujuan kami."




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro