Berita  | Sukan

Strategi dua tahun lalu membuahkan hasil - Norza

Strategi dua tahun lalu membuahkan hasil - Norza
Mohamad Norza (depan, tengah) bergambar kenangan bersama skuad badminton negara pada Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Muntinlupa di Manila, 9 Dis, 2019. --fotoBERNAMA
MANILA: Kejayaan skuad negara meraih tiga pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA ke-30 di sini nyata pencapaian yang membanggakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian itu sekali gus memberi gambaran bahawa skuad negara masih mempunyai bakat pelapis yang bakal bersinar pada masa hadapan selepas persaraan Datuk Lee Chong Wei.

"Kalau kita lihat, ketiga-tiga pingat emas yang disumbangkan hari ini (Isnin) adalah daripada pemain muda dan berharap mereka ini akan terus cemerlang di pentas antarabangsa," katanya di sini.

BACA: Beregu lelaki raih emas selepas 16 tahun

BAM sebelum ini hanya menyasarkan pingat emas dan pada hari terakhir saingan hari ini, skuad negara merangkul emas menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S Kisona serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Skuad badminton negara ketika edisi 1975 di Bangkok turut meraih tiga emas, masing-masing menerusi acara perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

-- BERNAMA