Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Dr S. Shamala akan bertanding mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden Konfederasi Hoki Malaysia bagi penggal yang akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas mereka mendapat sokongan besar daripada ahli gabungan yang mahukan mereka mempertahankan jawatan masing-masing pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MHC ke-66 pada 16 Nov ini.

"Selepas mempertimbangkan beberapa faktor, terutamanya kepercayaan dan keyakinan ahli gabungan, kami membuat keputusan untuk menghormati seruan ini (untuk bertanding).

"Kami akan berusaha dan bekerja keras, jika dipilih, untuk membawa hoki Malaysia bersama-sama sekutu kami ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh empat tahun akan datang," kata Subahan dan Shamala dalam kenyataan bersama MHC pada Selasa.

Mereka berkata mengkaji semula prestasi empat tahun yang lepas, ranking pasukan lelaki dan wanita telah bertambah baik.

Pasukan lelaki yang menduduki tangga ke-11 dunia selepas 15 tahun, bersedia untuk menghadapi tugas berat berdepan pemenang pingat emas sukan Olimpik tiga kali, Great Britain, mengetengahkan pemain daripada pasukan nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19) dalam dua perlawanan playoff di Lee Valley Hockey dan Tennis Centre, London pada 2 dan 3 Nov.

Subahan dan Shamala sebelum ini menegaskan mereka tidak akan bertanding andai skuad lelaki gagal ke saringan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA