Tutup

Berita  | Sukan

Subahan pertahan perbelanjaan hampir RM21 juta

Subahan pertahan perbelanjaan hampir RM21 juta
SUBAHAN: Jika dibandingkan dengan negara seperti India dan Australia, bajet mereka tiga atau empat kali ganda lebih banyak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menganggap perbelanjaan hampir RM21 juta bagi skuad hoki negara dalam tempoh lima tahun lepas, berbaloi walaupun kedua-dua pasukan lelaki dan wanita gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata daripada jumlah itu, skuad lelaki menerima peruntukan hampir RM15 juta dari 2015 hingga 2019, dengan paling banyak pada fasa terakhir kelayakan untuk tahun 2019 iaitu RM4.7 juta, manakala skuad wanita menerima peruntukan hampir RM6 juta dalam tempoh yang sama.
"Perbelanjaan ini hanya meliputi kos membayar gaji pemain dan jurulatih serta jelajah ke luar negara, tidak termasuk liga dan sebagainya. Memang bukan senang untuk mencari dana tetapi jumlah yang dibelanjakan memang berbaloi.

"Jika dibandingkan dengan negara seperti India dan Australia, bajet mereka tiga atau empat kali ganda lebih banyak," katanya ketika memulakan sesi penilaian empat tahun (2016-2019) skuad kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, pada Selasa.
Sesi penilaian itu bertujuan untuk bedah siasat punca kegagalan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 supaya memastikan kesilapan sama tidak berulang untuk tempoh empat tahun akan datang yang meliputi kelayakan dan kejohanan Piala Dunia 2022 (wanita) dan 2023 (lelaki) serta kelayakan Sukan Olimpik 2024.

"Bukan nak katakan kita gagal kerana pemain tak capai, mereka pun bagi yang terbaik, bagaimanapun kita harus mencari di mana berlaku kesilapan untuk memastikan kita layak ke Olimpik Paris 2024.

"Kita menjangka untuk mengumumkan rumasan awal pada esok (Rabu), manakala laporan penuh dijangka dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mac nanti," katanya.

Skuad lelaki yang menerima jolokan 'The Speedy Tigers' mempunyai peluang terbaik mara ke Olimpik sebagai juara Sukan Asia 2018, tetapi tewas kepada Jepun dalam final, manakala pada pusingan play-off terakhir kelayakan, pasukan ke-11 dunia itu tewas kepada Great Britain dengan agregat 3-9 di London pada November lepas.

Pasukan wanita yang melonjak ke ranking ke-20 dunia, gagal mara ke pusingan kelayakan terakhir apabila menamatkan kempen Final Siri FIH di Banbridge, Ireland pada Jun lepas di tempat ketiga, dengan hanya dua pasukan teratas akan layak ke play-off.

VIDEO: Kehadiran PDRM, SPRM cerminkan ketelusan proses bedah siasat - KHM

Sesi penilaian itu dianggotai oleh 16 ahli panel, termasuk Subahan, kedua-dua Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S Shamala dan Jadadish Chandra Bipin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bekas pemain, wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan media.

Seramai 10 pemain pasukan lelaki dan lima pemain wanita akan menjalani sesi perbincangan tertutup secara individu bersama ahli panel pada Rabu, manakala sesi pertemuan dengan pihak jurulatih dijangka diadakan pada waktu lain.

-- BERNAMA