DI SEBALIK laporan negatif terhadap keupayaan Brazil selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2016, Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Rio, Agberto Guimaraes, memberi jaminan negaranya akan bersedia sepenuhnya sebelum upacara pembukaan 5 Ogos depan.

Tinjauan Nadi Arena di pusat penyiaran antarabangsa, perkampungan media serta beberapa venue pertandingan mendapati penganjur kini berada dalam fasa terakhir menyiapkan semua prasarana di Rio.

Bagi Guimaraes, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum ini turut memantau persiapan kesemua prasarana di Rio dan sudah memberi sokongan serta kelulusan buat tuan rumah.

"Kami sudah bersedia. Kami hanya menanti ketibaan semua pegawai dan atlet.

"Buat masa ini, kebanyakan chef-de-mission sudah tiba di perkampungan sukan untuk memantau semua prasarana dan menyambut kedatangan kontinjen mereka.

"Perkampungan sukan akan bersedia untuk menerima kedatangan mereka menjelang Sukan Olimpik yang akan bermula pada Ogos," katanya.

Walaupun mengakui berdepan pelbagai cabaran seperti virus Zika sebelum ini, Guimaraes menyifatkan pengalaman dan kejayaan Piala Dunia 2014 menjadi pembakar semangat buat tuan rumah.

"Pelancong yang datang ke Rio untuk menyaksikan sendiri kejohanan, mereka pasti akan benar-benar menikmati suasana di sini. Bukan sahaja di Rio, tetapi di seluruh tempat di negara ini.

"Apa yang boleh saya katakan, kami benar-benar berharap segala perancangan akan berjalan lancar sehingga hari pertandingan sebenar," tambahnya.

Apa yang menarik mengenai Sukan Olimpik kali ini ialah sukarelawan bukan sahaja terdiri daripada pelajar, tetapi pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami mempunyai ramai sukarelawan yang bekerja dalam tentera, organisasi serta syarikat-syarikat besar terutama di Copacabana dan juga pesara.

"Ramai sukarelawan kami terdiri daripada warga emas yang meminati sukan dan ini merupakan satu penghargaan.

"Sesuatu yang cukup bagus apabila kita dapat saksikan warga emas dan golongan muda bersama-sama membantu kami menjayakan temasya ini," jelasnya.