Tutup

Berita  | Sukan

Sukan SEA: Khairul Hafiz fokus baiki teknik permulaan

Sukan SEA: Khairul Hafiz fokus baiki teknik permulaan
Hafiz yakin mampu memecahkan rekod temasya 10.17 saat milik jaguh Indonesia, Suryo Agung Wibowo ,yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos. - Gambar hiasan
RAJA pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mahu tumpu memperbaiki teknik permulaan acara 100m dalam usaha untuk menjadi manusia terpantas di Asia Tenggara pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

Pelari berusia 19 tahun itu yang dijangka menghadapi saingan sengit daripada juara bertahan Eric Cray dari Filipina dan juara 2013, Jirapong Meenapra dari Thailand, juga yakin mampu memecahkan rekod temasya 10.17 saat milik jaguh Indonesia, Suryo Agung Wibowo ,yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos.
Beliau berkata pengalaman dan pendedahannya menjalani latihan dan siri kejohanan di Afrika Selatan serta kejohanan lain termasuk Kejohanan Olahraga Asia (AAC) dan Terbuka Thailand memberikan keyakinan untuk beraksi tanpa tekanan.

"Dengan tinggal beberapa hari sahaja, persiapan saya lebih tertumpu untuk ingat balik cara latihan dan bagaimana saya memecahkan rekod kebangsaan 10.18s dalam 100m dan 20.90s untuk 200m. Saya perlu ikut nasihat jurulatih untuk memperbaiki kelemahan yang lain, kerana jurulatih yang boleh lihat apa kelebihan dan kelemahan saya.
"Insya-Allah, saya tidak mengalami tekanan tetapi lebih bersemangat untuk mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas dan jika tuhan izinkan, saya akan pecahkan rekod. Mungkin kerana dah banyak menyertai kejohanan luar negara, selain sokongan dan nasihat jurulatih yang meminta saya anggap kejohanan ini sebagai latihan," katanya kepada Bernama selepas beliau dilantik duta Universal Fitness.

Sukan SEA kali ini bakal menyaksikan pertembungan pertama Khairul dengan Cray. Khairul mempunyai catatan terbaik semusim 10.24s di Kejohanan Olahraga Asia pada bulan lepas manakala Cray mencatatkan 10.31s pada Mac lalu di Amerika Syarikat.

"Khairul pernah tengok video-video lama Eric, memang akan ada satu saingan sengit di antara kami, tetapi saya bersedia hadapi Eric. Dengan Jirapong saya pernah lari di Terbuka Thailand di mana saya menang tetapi kita tidak boleh pandang mudah kerana tidak tahu muslihat orang," katanya.

Jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim yakin Khairul mampu memecahkan rekod 100m tetapi agak sukar dalam 200m kerana beliau kurang bertanding dalam acara itu tahun ini.

Khairul yang didaftarkan dalam acara 100m, 200m, 4x100m dan 4x400m mungkin tidak akan beraksi dalam acara terakhir itu.

"Belum tahu dia akan lari atau tidak, keputusan akan dibuat kemudian berdasarkan kecergasan dia selepas acara individu kerana 4x400m dijadualkan pada hari terakhir, tetapi dari segi latihan beliau telah berlatih dengan ahli pasukan."

Terdahulu, Khairul menerima dua jam tangan Suunto Spartan Ultra bernilai RM4,000 dan wang tunai RM1,500 sebagai insentif memecahkan rekod kebangsaan 200m milik Tan Sri Dr M. Jegathesan yang dicipta 49 tahun lepas di Kejohanan Terbuka Malaysia.

Beliau akan menerima insentif RM2,000 untuk setiap pingat emas dalam acara pecut dan tambahan RM1,000 jika berjaya pecahkan rekod semasa Sukan SEA nanti daripada UFL-Suunto.

-- BERNAMA