Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) meminta maaf di atas kesilapan warna bendera yang tidak disengajakan dalam buku cenderamata upacara pembukaan Sukan SEA ke-29.

Susulan itu jawatankuasa itu memaklumkan pengerusinya dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi pada Ahad untuk sekali lagi memohon maaf bagi pihak MASOC.

"Kesilapan ini amat dikesali dan kami percaya hubungan erat antara dua negara ini akan diperkukuhkan atas semangat Sukan SEA," menurut satu kenyataan MASOC malam tadi.

Semalam Khairy menerusi tweetnya melahirkan rasa kesal dengan kesilapan warna pada bendera Indonesia yang digunakan pada buku cenderahati terbabit.

"Bapak Imam, Please accept my sincere apologies for this. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf," katanya di laman Twitternya.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada catatan Imam Nahrawi mengenai kesilapan demikian.

Dalam buku cenderahati itu, bendera Indonesia dicetak terbalik.

Temasya Sukan SEA ke-29 kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun dalam suasana gilang gemilang dan penuh berwarna -warni tatkala Kuala Lumpur menyambut 4,900 atlet terbaik dalam pelbagai acara sukan terbesar di Asia Tenggara.