Memandang rendah prestasi atlet asia tenggara lain antara punca sasaran mengapai 70 pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2019 Filipina gagal.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menegaskan sasaran 70 pingat emas ditetapkan setiap persatuan berdasarkan prestasi semasa atlet.

Beliau menjelaskan kali terakhir proses penilaian dan pemilihan dibuat dengan pihak berkaitan pada 6 November lalu.

Persatuan sukan diminta membentangkan sasaran mereka bersama profil atlet, sebelum perbandingan dibuat dalam kalangan atlet dari 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

“Dari segi sasaran yang ditetapkan pada masa tersebut, ia dibuat berdasarkan prestasi (atlet) yang telahpun dikumpul oleh pihak jurulatih dan persatuan, di mana kita (MSN) merasakan pada masa itu adalah satu prestasi yang boleh dicapai.

“Walau bagaimanapun, mungkin kita memandang rendah prestasi atlet-atlet dari negara lain yang nampaknya begitu maju ke depan.

“Sebab itu ada sesetengah sukan, di mana sebelum ini kita menjadi juara di temasya Sukan SEA 2017 dan menang di peringkat Sukan Asia 2018 dan 2019, tetapi gagal untuk cemerlang di Sukan SEA kali ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Tambah beliau, prestasi atlet secara keseluruhan juga dilihat tidak memberangsangkan walaupun jumlah atlet yang mewakili temasya kali ini adalah paling ramai dalam sejarah penyertaan di Sukan SEA.

Daripada jumlah 772 atlet - sebanyak 374 atlet telah diletakkan dalam kategori A, sementara selebihnya berada dalam kategori B.

Jelas Jefri, kategori B terdiri daripada atlet yang tidak mencapai kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilaian MSN dan yang terlibat dalam sukan baharu yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA kali ini.

“Jadi jumlahnya bergantung kepada senarai sukan yang dianjurkan di temasya Sukan SEA. Oleh itu, Jawatankuasa Penilaian MSN telah membuat keputusan untuk memastikan atlet yang memenuhi sasaran diletakkan dalam kategori A dan tidak memenuhi sasaran diletakkan dalam kategori B.

“Jumlah itu memang besar memandang jumlah (sukan) yang dipertandingkan di Sukan SEA sebanyak 56 jenis, dan kita telah mengambil bahagian dalam 52 jenis sukan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jefri, post mortem akan dijalankan dalam tampoh terdekat bagi mengenal pasti faktor lain dalam usaha membaiki prestasi atlet negara pada temasya akan datang.

Kontinjen negara kali ini diwakili 772 atlet dan 339 pegawai yang mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan dipertandingkan.

Kempen edisi kali ini berakhir dengan menyaksikan Malaysia meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.