Sukan SEA Filipina pada akhir tahun ini bakal menjadi penanda aras terdekat kem badminton negara sebelum menyiapkan diri untuk cabaran getir pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun temasya dwitahunan itu hanya melibatkan pemain dari negara Asia Tenggara, tetapi ia bakal menentukan di mana tahap pemain muda dan pelapis kebangsaan berbanding pemain dari negara jiran.

Ia berikutan prestasi hambar pemain di bawah naungan BAM pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland pada bulan lepas berbanding pemain pelapis dari negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura yang menggerunkan.

"Sebab itu saya rasa para pemain dan jurulatih tak patut bersikap 'berurusan seperti biasa', perlu ada kesesuaian matlamat (dengan BAM). Mereka tak patut ambil mudah cabaran Sukan SEA sekiranya betul-betul mahu memberikan saingan yang menggerunkan di Tokyo.

"Semua pihak mesti memahami bahawa apa yang peminat badminton mahu melihat ketika ini ialah satu perubahan dari segi pendekatan pemain dan jurulatih.

"Bagi saya ia suatu yang mendesak, tiada lagi urusan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan eRacing Grand Prix Sea di sini, pada Ahad.

Mohamad Norza berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA seperti yang diumumkan oleh Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

"Bagi saya, saya lebih suka pengarah Choong Hann untuk membuat justifikasi untuk menetapkan sasaran itu. Sebagaimana yang saya katakan selepas Basel, kita harus bersabar dan memahami sejauh manakah jurang kita dengan kuasa-kuasa besar badminton yang lain," jelasnya.

Skuad kebangsaan terpaksa pulang dengan tangan kosong dari Basel apabila hanya pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir, manakala pemain lain tersingkir pada pusingan awal (pusingan pertama, kedua dan ketiga).

Mohamad Norza turut berkata bekas Pengurus Besar BAM (sehingga 2015), Datuk Kenny Goh yang bakal memulakan tugas selaku Setiausaha Agung BAM pada esok secara sepenuh masa, adalah satu lagi pendekatan dalam memantapkan prestasi pemain kebangsaan.

"Hari ini semua dah ada, iaitu Pengurus Besar, Setiausaha Agung, Pengawal Kewangan dan Pengarah Kejurulatihan sepenuh masa. Jadi kita dah ada semua sokongan yang menjadi resipi pembangunan yang lebih besar, sebab itu saya mengharap perubahan yang lebih besar dari segi prestasi pemain," katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia meraih sebutir emas, lima perak dan dua gangsa daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan. -- Bernama