Majlis Sukan Negeri Sembilan memohon peruntukan RM5 juta daripada kerajaan negeri bagi persiapan kontinjen negeri pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani berkata beliau sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Pegawai Kewangan Negeri, dan dengan persetujuan Menteri Besar, perkara itu akan dibentangkan pada Belanjawan 2020 bulan November ini.

"Kita mohon RM5 juta untuk dipertimbangkan, tetapi biasalah akan ada pengurangan di sana sini. Bagaimanapun, jaminan yang diberikan... InsyaAllah tidak kurang daripada RM4 juta. Sukma tahun lepas di Perak kita juga mendapat jumlah peruntukan yang sama (RM4 juta). Saya yakin segala perancangan akan berjalan dengan baik.

"Pada Sukma 2018 Perak, Negeri Sembilan menduduki senarai ke-12 daripada 15 kontinjen yang bertanding dengan memperolehi 13 emas, 18 perak dan 43 gangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kemenangan dan pelancaran program atlet menembak Sukma 2020 di sini, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Menembak Negeri Sembilan Dr Wan Ikmal Wan Ahmad dan Penolong Pengarah MSN Mohd Yazid Mustafa.

Mengulas lanjut, Mohamad Taufek berkata dari segi persiapan, beliau telah memanggil mesyuarat semua persatuan sukan dan sudah mengarahkan mereka supaya membuat perancangan rapi dari segi pemilihan atlet dan jurulatih.

"Kita juga akan bermesyuarat lagi dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat di mana kita akan tumpukan pula kepada latihan. Kita ada time-line iaitu sebelum akhir tahun ini semua pemilihan atlet telah siap dan bermula Januari 2020 kita akan fokus pula kepada persiapan terakhir.

"Pada Sukma 2020 Johor, kita mensasarkan kedudukan antara 10 pasukan teratas. Saya yakin dengan persiapan rapi yang kita buat dan maklumat yang kita terima, tidak mustahil kita boleh mencapai sasaran," katanya.

Sementara itu, katanya tujuh orang atlet menembak Johor akan menerima pembayaran elaun RM400 hingga RM600 sebulan bermula bulan ini hingga Julai 2020.

Pada majlis itu atlet menembak Negeri Sembilan yang juga penembak pelapis kebangsaan, Alia Husna Budruddin, 18, menerima insentif RM500.

Insentif itu diberikan berdasarkan pencapaian Alia Husna memenangi pingat emas pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Jakarta, Indonesia pada Ogos lepas dan juga memenangi pingat emas acara tiga posisi dan acara prone pada Kejohanan Sirkit Kedua Kebangsaan di Sarawak pada 10 hingga 15 Sept lepas.

-- BERNAMA