Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 diharap dapat menjadi medan bagi melahirkan atlet yang akan mengakhiri penantian kilauan emas di Sukan Olimpik, satu hari nanti.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Sukma 2018 juga wajar menjadi platform dalam meneruskan tradisi melahirkan tokoh-tokoh yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Tinggi juga harapan kita agar ada kalangan bintang-bintang muda Sukma Perak 2018 akan menyinar sehingga ke peringkat Olimpik dan kejohanan dunia suatu hari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Sukma ke-19 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengambil kesempatan menjemput semua atlet, pegawai dan penyokong yang bertanding melawat destinasi-destinasi pelancongan sambil menikmati keindahan semula jadi di Perak.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap semangat 'Malaysia Boleh!' akan dibawa oleh barisan atlet pada Sukma ke-19.

"Pastikan semangat Malaysia Boleh! bersama dalam temasya sukan ini kerana sukan milik rakyat secara keseluruhan," katanya.

Selain itu, beliau berkata penganjuran temasya sukan bukan milik individu, sebaliknya ia perlu digerakkan sebagai gelombang yang mampu memartabatkan mutu sukan negara.

"Sukan bukan sahaja untuk kita menikmatinya, tapi ia ejen perpaduan yang efektif merentasi agama dan bangsa," katanya.

-- BERNAMA