Selepas tujuh tahun tidak dianjurkan di Malaysia, siri perlumbaan popular 'touring car', Kejuaraan Super GT Jepun (GT Jepun) akan kembali diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2020.

Saingan pada 2020 itu akan menjadi perlumbaan pertama diadakan pada waktu malam untuk Super GT.

"Jepun sinonim dengan inovasi, dan di HARO, kami sentiasa ingin menampilkan sesuatu yang baharu. Penganjuran kembali Super GT di Malaysia bakal menjadi sejarah.

"Ia akan menjadi perlumbaan pertama dilangsungkan pada waktu malam bagi Super GT di dunia," kata rakan pengurusan HARO, Fahrizal Hasan dalam kenyataan pada Sabtu.

Perlumbaan Super GT Jepun di SIC mula diadakan pada 2000 sebagai perlumbaan pertunjukan dan ia sudah dilangsungkan sebanyak 13 kali sehingga 2013.

"Kita berharap bukan sahaja pelumba, pasukan dan pengeluar kereta, tetapi juga semua terlibat dalam Super GT akan bekerjasama dengan HARO dan kakitangan tempatan terlibat dalam operasi di Sepang untuk membantu rakyat Malaysia berkongsi keseronokan dalam sukan permotoran dan mewujudkan acara perlumbaan berdasarkan persefahaman bersama mengenai budaya automobil.

"Pada masa sama, saya berharap melalui penganjuran Super GT, kita boleh menyumbang untuk saling mempromosi dalam membina persahabatan antara Malaysia dan Jepun," kata Pengerusi GTA Masaaki Bandoh.

-- BERNAMA