KHIDMAT Suresh Jayaraman digantung.

Itu tindakan tegas yang diambil Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid, selepas pengadil itu sekali lagi dipalit kontroversi.

Nama Suresh kembali menjadi buah mulut ramai apabila pengadilannya ketika aksi Liga Perdana melibatkan PDRM FA dan Pulau Pinang, Sabtu lalu, mencetuskan kontroversi.

Perlawanan itu dicemari insiden pergaduhan di penghujung perlawanan dan ia didakwa berlaku gara-gara mutu pengadilan yang lemah daripada individu tersebut.

Ironinya, ia kali ketiga Suresh dipalit kontroversi selepas aksi final Piala Malaysia 2018 dan perlawanan akhir Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2015.

Menyedari kelemahan yang ada, Suresh dikecualikan daripada mengadili perlawanan Piala Malaysia musim ini.

"Terdapat beberapa keputusan yang menyebabkan perlawanan menjadi tegang sehingga menimbulkan kekecohan di penghujung aksi. Buat sementara waktu, kami ada kursus untuk pengadil yang terlibat dalam Piala Malaysia dan kami tidak senaraikan nama Suresh. Jadi, dia tidak akan terlibat dalam kempen kali ini," katanya.

Sementara itu, Dali mengambil pendekatan berahsia berhubung identiti pengadil dari Jepun yang dipilih untuk mengadili final Piala FA di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Insya-Allah, pengadil itu akan sampai lusa. Kami akan berjumpa dengannya dan dia akan sampaikan taklimat kepada pengadil serta pegawai perlawanan yang terlibat dalam aksi final itu."