Tajaan sebanyak RM20 juta oleh syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, dijangka memberi nafas baharu dalam pembangunan bola sepak Kelantan, terutama kepada pasukan Liga Super The Red Warriors (TRW).

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Baharu (TRWKB) Mohd Zainy Mohd Zain berkata tajaan itu bakal memantapkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada masa akan datang.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, KAFA sering mengeluh kerana keadaan kewangan yang agak sukar, namun dengan tajaan ini, pengurusan KAFA boleh menarik nafas lega.

"Tajaan ini juga akan memperkasakan bola sepak Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Akhbar pada Ahad, melaporkan pemilik Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi memastikan skuad Pamoga Qu Puteh TRW berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, sebanyak RM16 juta untuk tajaan pasukan Kelantan, RM3 juta bagi kempen promosi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM1 juta menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Dalam pada itu, Mohd Zainy turut menyambut baik perubahan warna Stadium Sultan Muhammad IV yang akan dicat dengan warna merah jambu, dan tempat khas untuk penyokong wanita.

"Langkah itu saya lihat akan menyemarakkan lagi sokongan terutama golongan wanita terhadap The Red Warriors, selepas ini.

"Malah Datuk Seri (Dr Hasmiza) juga berjanji untuk menambah baik prasarana stadium dan ia sekali gus memberi kelegaan kepada kami," katanya.