Tutup

Berita  | Sukan

Tampilkan aksi terbaik sebagai juara bertahan di final - Hamidin

Tampilkan aksi terbaik sebagai juara bertahan di final - Hamidin
Hamidin menyifatkan keazaman tinggi ditunjukkan barisan pemain, dalam menghasilkan keputusan cemerlang adalah sesuatu yang amat membanggakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara perlu mempamerkan belang 'Harimau Malaya' sebenar, ketika turun berhadapan Australia pada perlawanan akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 di Vietnam, Isnin ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan FAM malam tadi berharap semangat juang tinggi ditampilkan skuad muda negara sepanjang kempen itu diteruskan, sekali gus melakar sejarah merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

"Semoga semangat dan momentum ini dapat diteruskan pada aksi final Isnin nanti, kerana selaku juara bertahan, kita seharusnya tidak perlu gentar sama ada akan berhadapan Australia ataupun Myanmar, untuk mempertahankan kejuaraan malah penting buat pemain untuk kekal fokus," katanya.
Malaysia selaku penyandang juara, melangkah ke final kejohanan serantau Asia Tenggara itu pada Sabtu, selepas menewaskan Indonesia 4-3, pada aksi separuh akhir yang menjangkau 120 minit masa permainan di Stadium Binh Duong.

Australia yang diaibkan Malaysia 0-3 pada saingan Kumpulan B minggu lepas, mengesahkan tempat di final, setelah menewaskan naib juara Kumpulan A, Myanmar 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Mengulas mengenai aksi skuad bimbingan pengendali sementara, Brad Maloney, Hamidin menyifatkan keazaman tinggi ditunjukkan barisan pemain, dalam menghasilkan keputusan cemerlang adalah sesuatu yang amat membanggakan.
"Satu persembahan yang cukup bertenaga dan dramatik telah ditampilkan. Kesungguhan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan kesemua pemain sepanjang permainan amat membanggakan. Pujian harus diberikan kepada para pemain muda negara kita ini.

"Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga merangkap exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, yang turut sama bekerja keras sehingga meraih kejayaan ini," tambah beliau.

-- BERNAMA