Pemain tenis nombor empat dunia, Novak Djokovic, terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Terbuka Amerika Syarikat selepas mengalami kecederaan siku.

Kali terakhir dia beraksi adalah pada awal bulan ini sewaktu menentang pemain Republik Czech, Tomas Berdych, sebelum terpaksa menamatkan perlawanan lebih awal akibat kecederaan.

Selepas terlepas carta nombor satu dunia di tangan Andy Murray pada November tahun lalu, dia terus tersingkir ke tangga keempat dunia dan hanya memenangi dua kejuaraan utama pada tahun ini.

“Selepas menahan kesakitan selama setahun setengah, saya membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sehingga penghujung 2017.

“Saya telah menemui beberapa orang doktor dan penasihat dan mereka bersetuju untuk saya berehat panjang.

“Sukar untuk membuat keputusan sebegini pada waktu ini dan Wimbledon merupakan detik paling sukar kerana menahan kesakitan yang teruk,” kata Djokovic.

“Saya akan menggunakan tempoh ini untuk memperkuatkan semula tubuh serta meningkatkan elemen tenis yang tidak dapat saya dapatkan sebelum ini.

“Lima bulan tampak panjang ketika ini tetapi saya yakin akan dapat melaluinya kerana banyak perkara yang ingin dilakukan,” tambahnya.