NOVAK Djokovic berkata dia tidak berasakan bahawa dia telah "menguasai" Roger Federer walaupun belum pernah tumpas kepada pemain Switzerland itu dalam kejohanan utama sepanjang tujuh setengah tahun ini.

Federer gagal menjinakkan Djokovic dalam perebutan gelaran utama sejak pertemuan separuh akhir mereka dalam Terbuka Wimbledon pada 2012.

Walaupun merakamkan lima kemenangan grand slam ke atas lawannya itu, empat daripadanya dalam perlawanan akhir, pemain Serbia berkenaan masih tidak menganggap bahawa dia lebih unggul menjelang pertemuan mereka dalam separuh akhir Terbuka Australia esok.

Djokovic menegaskan bahawa pemain berusia 38 tahun itu, yang memenangi pertarungan di antara mereka dalam Final ATP 2019 di London sebelum ini, sentiasa menjadi ancaman utama di atas semua gelanggang.

Ditanya apakah dia mempunyai rahsia berhubung kemenangannya ke atas Federer dalam kejohanan utama, dia berkata: "Secara jujurnya, tidak ada yang khusus.

"Dalam Wimbledon tahun lalu, dia mempunyai kesempatan menerusi dua mata akhir, malah dia hanya memerlukan satu pukulan lagi untuk memenangi perlawanan itu. Ia tidak kelihatan seperti saya menguasai perlawanan tersebut.

"Saya pernah meraih kejayaan ke atasnya dalam perlawanan-perlawanan besar tetapi Roger tetap Roger. Anda tahu bahawa dia akan sentiasa bermain di tahap yang tinggi tanpa mengira permukaan apa sekalipun.

"Saya tahu bahawa setiap kali kami berpeluang untuk berentap, kami perlu berusaha keras untuk menghasilkan permainan terbaik demi mengalahkan satu sama lain.

"Dia suka beraksi dalam kejohanan seperti ini. Beraksi dalam separuh akhir mahupun final pertandingan utama.

"Maksud saya, dia mungkin akan mengesahkannya bahawa ia merupakan alasan utama mengapa dia masih beraksi -- untuk bersaing meraih kejayaan besar ke atas pemain terbaik di dunia."

Sejak melepaskan satu set ketika berdepan Jan-Lennard Struff dalam pusingan pertama, Djokovic telah mencatat empat kemenangan straight set berturut-turut, termasuk kejayaan 6-4, 6-3, 7-6 (7-1) ketika bertemu Milos Raonic dalam suku akhir malam tadi.

Prestasi itu diteruskan sejak Piala ATP lalu yang menyaksikannya mengetuai negaranya untuk menang dan menewaskan Rafael Nadal dalam final.

Djokovic dalam keyakinan tinggi menjelang pertemuan dengan Federer itu dalam usahanya mencatat dua kemenangan lagi bagi mengungguli Terbuka Australia buat kali kelapan.

Pilihan kedua itu berkata: "Saya berasa baik di atas gelanggang. Saya masih mengekalkan persembahan sepanjang kejohanan di sini dan telah membina momentum sejak Piala ATP.

"Saya fikir keyakinan saya semakin memuncak dalam setiap perlawanan. Saya berasa lebih yakin dan lebih baik.

"Pada akhirnya, ini adalah gelanggang di mana saya melakar kejayaan terbaik sepanjang kerjaya ini."