KERAJAAN Terengganu menyatakan kesediaan untuk menarik diri dalam dua bentuk sukan iaitu gimnastik dan gimrama wanita kerana tuntutan yang perlu dipatuhi atlet bercanggah dengan garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu diambil kerana berdepan halangan dalam soal pakaian patuh syariah yang bercanggah peraturan ditetapkan persatuan atau badan induk sukan berkenaan.

“Dalam pembentangan kertas kerja Garis Panduan Sukan Menurut Islam oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda menyebut, ada beberapa sukan yang memang kita tidak boleh berkompromi sebab ia bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan.

“Sukan-sukan itu bukan sahaja menuntut atlet melakukan aksi luar daripada kebiasaan tetapi menonjolkan aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki. Sukan ini dalam Islam pun tidak dibolehkan, jadi kita terpaksa tarik diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Garis Panduan Sukan Menurut Islam 2019, di sini hari ini.

Turut hadir, timbalannya Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dan timbalannya, Zuraidin Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, tiada penglibatan atlet wanita dari Terengganu dalam sukan gimnastik dan gimrama sejak pemakaian patuh syariah diperkenalkan pada 2018.

Bagaimanapun Wan Sukairi berkata, tiada halangan bagi atlet lelaki untuk terlibat dalam sukan itu.

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri tidak mengambil pendekatan terburu-buru dalam pelaksanaan konsep pemakaian patuh syariah kerana ia perlu dilihat dalam konteks menyeluruh.

“Etika pemakaian patuh syariah ini luas dan bukan hanya terhad kepada etika berpakaian, sebaliknya merangkumi soal pergaulan di samping perkara-perkara teknikal dalam bidang sukan.

“Jadi, garis panduan pemakaian patuh syariah terhadap atlet beragama Islam yang mewakili negeri akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri menyediakan jalan penyelesaian terbaik terhadap seluruh aspek sukan dan lain-lain perkara,” katanya.

Mengulas mengenai bengkel Bengkel Garis Panduan Sukan Menurut Islam 2019 yang diadakan itu, katanya, ia akan membawa kepada resolusi yang akan diwartakan dan akan dijadikan amalan kepada seluruh atlet di negeri ini.

"Tujuan kita menganjurkan bengkel pada hari ini adalah untuk mendapatkan pandangan semua pihak termasuk cendekiawan Islam, kalangan ahli akademik, para pegawai negeri ini dan Kelantan serta wakil-wakil persatuan sukan berhubung garis panduan yang dibentangkan.

“Selagi kita tidak boleh menyediakan penyelesaian terbaik, kita belum boleh melaksanakan konsep patuh syariah ini 100 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen tanah air yang ingin menyumbangkan idea bagi menghasilkan pakaian patuh syariah yang sesuai untuk atlet negeri ini dengan mengambil kira keperluan yang ditetapkan bagi jenis-jenis sukan.