Penyerang baru Perak II N.Thanabalan, akan diberikan ruang dan peluang secukupnya, untuk menyinar dalam saingan Liga Premier 2020 bersama kelab itu, kata ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim.

Katanya, beliau merancang menjadikan Thanabalan, 25, sebagai pemain utama pasukannya musim ini, namun menegaskan pemain yang mencetuskan fenomena sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu, terlebih dahulu perlu membuktikan kesungguhannya.

Beliau percaya bekas tonggak utama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu masih memiliki deria pemusnah, meskipun kemampuannya menjadi tanda tanya selepas banyak menghabiskan masa di bangku simpanan, ketika bersama Kedah musim lepas.

"Saya mahu melihat beliau muncul sebagai antara penjaring terbanyak dalam kalangan pemain tempatan. Dengan usianya, beliau belum terlambat untuk kembali ke puncak prestasi sebelum ini, dan kerana pengalaman dimiliki, ruang terbuka luas untuk beliau berada dalam kesebelasan utama pasukan musim ini.

"Yang penting di mana beliau mahu meletakkan dirinya pada tahun 2020 sejak hilang hampir tiga tahun. Saya sedia bantu dan tunaikan hasratnya untuk dapatkan minit permainan, tetapi saya juga mahu lihat usahanya dalam mendapatkan apa yang diinginkan," katanya kepada Bernama.

Abu Bakar berkata, kehadiran anak jati Rantau, Negeri Sembilan itu, dapat mempelbagaikan pilihan jentera serangan, sekali gus mampu membantu pasukan mengharungi saingan padat musim ini.

"Beliau (Thanabalana) pemain yang berpontensi sebelum ini, tetapi agak sukar dapat tempat di Kedah, jadi bila ada peluang untuk Perak II memperkuatkan jentera serangan dengan kehadirannya, kita mencuba. Pasukan mungkin menggunakannya di bahagian sayap, kerana beliau lebih dilihat sebagai 'supplier'," jelas Abu Bakar.

Thanabalan memiliki kelebihan tandukan sebagai senjata pemusnah, dan kelebihan itu melonjakkan popularitinya selepas beliau menanduk masuk jaringan kemenangan ke atas Indonesia, pada aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau turut membantu Malaysia mara sehingga ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, namun bergelut dalam mencipta nama di Liga Malaysia (Liga-M) rentetan kecenderungan hampir kesemua pasukan Liga-M, memilih pemain import sebagai penyerang mereka.

Thanabalan hanya membuat 16 penampilan bersama Kedah, sejak meninggalkan Negeri Sembilan untuk menyertai skuad Lang Merah pada saingan Liga Super musim 2019.

-- BERNAMA