Skuad olahraga negara bakal memulakan latihan trek dan padang dalam masa beberapa hari lagi, namun mungkin terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk beraksi pada sebarang kejohanan antarabangsa.

Ia berikutan kebanyakan kejohanan utama hanya dijangka bermula tahun depan, selain keadaan pandemik COVID-19 di negara lain yang masih belum selamat sepenuhnya untuk perjalanan ke luar negara.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata atlet negara yang baru kembali dari kem latihan semalam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, turut memerlukan lebih kurang tiga bulan untuk mengembalikan semula prestasi masing-masing.

"Jadi kemungkinan besar, kita hanya akan mengadakan kejohanan domestik pada Disember, sebelum mula menyertai kejohanan di luar negara selepas itu, bergantung kepada situasi COVID-19 dan kebenaran kerajaan. Kita juga belum menerima apa-apa jemputan untuk kejohanan luar negara setakat ini.

"Buat masa ini, kita akan fokus kepada penyesuaian, ujian kecergasan dan membina kekuatan fizikal. Tak guna untuk kita paksa atlet kerana tiada kejohanan utama sehingga tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Seramai 24 atlet Program Podium dan 10 atlet pelapis telah melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sehingga hari ini, manakala beberapa lagi atlet dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Kesemua atlet itu dijadual menjalani ujian calitan COVID-19 esok dan perlu menunggu sehingga keputusan tersebut sebelum memulakan latihan di MSN.

Mohd Manshahar mengingatkan bahawa semua atlet wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MSN dan pihaknya pada setiap masa demi keselamatan semua pihak.

"Ia termasuk dari aspek jarak sosial, pemeriksaan suhu sebelum latihan dan menjaga kebersihan. Sebagai contoh, ketika latihan di trek, mereka perlu mengosongkan satu lorong di antara dua atlet," katanya.

Beberapa atlet negara seperti Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa, Andre Anura Anuar dan Muhammad Hakimi Ismail, adalah dalam usaha merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguh ke Julai, 2021.

Persekutuan Olahraga Dunia menangguhkan semua kejohanan kelayakan Sukan Olimpik sehingga 30 Nov ini dan mengumumkan jendela kelayakan temasya itu akan disambung semula pada 1 Dis, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Mei 2021 untuk 50km jalan kaki dan maraton manakala 29 Jun 2021 bagi acara lain.