Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap 'pen drive' berkaitan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati tiada sebarang unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki memaklumkan pihaknya akan menghantar laporan kepada FAM dalam masa terdekat.

"SPRM mengesahkan telah selesai meneliti isi kandungan 'pen drive' tersebut dan hasil penelitian mendapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

"Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, SPRM turut menyatakan komitmen sedia bekerjasama dengan FAM untuk perbincangan lanjut sekiranya melibatkan elemen-elemen rasuah.

'Pen drive' tersebut diserahkan oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 26 Ogos lalu.

Khairy Jamaluddin kemudiannya menyerahkan butiran 'pen drive' tersebut kepada SPRM Jumaat lalu untuk siasatan lanjut .

Semalam, Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan mendesak mana-mana individu yang disebut di dalam 'pen drive' tersebut agar mengundur diri secara baik.

Tegas beliau, identiti individu terlibat akan didedahkan sekiranya mereka masih berkhidmat di dalam FAM tahun depan.