Pasukan ragbi 15 sebelah (15s) negara menggunakan tiga corak latihan moden dan intensif bagi mempersiapkan skuad itu menghadapi lawannya pada kejohanan Ragbi Asia 2018 (ARC 2018).

Ia membabitkan penggunaan alat peranti digital Sistem Kedudukan Global (GPS), Sportscode serta elemen sains sukan dalam sesi latihan.

Menurut Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia, Muhd Mazuri Salehuddin, GPS akan dipasang pada jersi bagi menilai prestasi pemain seperti kelajuan, tahap kecergasan serta keluasan padang yang dikuasai pemain.

“Sportscode pula merupakan sistem koding bagi menilai kesilapan yang dilakukan pemain ketika perlawanan supaya boleh diperbaiki pada perlawanan seterusnya.

“Selain itu pemakanan pemain kebangsaan akan dikawal dengan mengikut diet yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Mengulas persiapan skuad Bunga Raya menjelang ARC 2018, beliau mendedahkan pemain kebangsaan akan berguru di New Zealand selama 16 hari mulai 13 Mac depan.

"Tujuan utama pasukan kebangsaan dihantar berlatih ke New Zealand adalah bagi meningkatkan aspek ketahanan dan kekuatan pada tahap tertinggi.

"Dalam aspek taktikal, aspek kemahiran seperti skrum, backline, line-out dan sebagainya akan ditambah baik untuk berdepan Hong Kong dan Korea Selatan," jelasnya lagi.

Skuad ragbi Malaysia sedang menjalani latihan intensif sebagai persiapan Kejohanan Ragbi Asia Premier 2018 pada 24 April hingga 2 Jun tahun ini.

Malaysia mencipta sejarah tersendiri untuk layak ke ARC 2018 selepas menjadi juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1 2017 di Ipoh, Perak.