Sebanyak 10,000 keping tiket dalam talian yang diperuntukkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk aksi final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini telah habis dijual.

Tinjauan mendapati kesesakan teruk berlaku sejak laman sesawang www.tickethotline.com.my yang menjual tiket final Piala Malaysia dibuka bermula pukul 10 pagi, Rabu.

"Peruntukan tiket untuk penjualan online telah habis dijual namun anda masih boleh dapatkan tiket di Stadium Shah Alam dan Stadium Darul Aman bermula esok," demikian menurut kenyataan yang dipetik daripada laman sesawang berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dijangka menjual sejumlah 30,000 tiket masing-masing yang diperuntukkan oleh FAM bermula pukul 10 pagi di kedua-dua kaunter tiket stadium berkenaan.

Selain 30,000 tiket berkenaan, FAM turut memperuntukkan sebanyak 1,000 keping tiket masing-masing untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun kepada kedua-dua pasukan.

Badan induk itu menetapkan harga tiket dewasa pada kadar RM40 manakala tiket kanak-kanak berharga RM5.

Skuad Gergasi Merah mara ke final setelah mencipta kejutan menerusi kemenangan agregat 2-0 ke atas juara bertahan, Pahang manakala Kedah melangkah ke final buat kali ke-11 setelah menang tipis 4-3 secara agregat ke atas Felda United pada aksi separuh akhir.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada aksi final edisi 2008 di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyaksikan Kedah muncul juara menerusi kemenangan tipis 3-2.