PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan bahawa baginda memiliki satu pendrive menyimpan aktiviti dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pendrive tersebut diperolehi menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

"Ini adalah pendrive diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek.

"Mungkin sudah sampai masanya untuk penyokong bola sepak tanah air melihat dan menilainya sendiri. Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, 'jangan diajak penembak tepat pergi menembak'."

Dalam pada itu, dalam kenyataan yang sama, TMJ turut memberi maklum balas terhadap sesetengah pihak yang mempertikaikan keputusan empat pemain JDT bersara daripada pasukan kebangsaan.

"Anda memberi komen tentang pemain yang bersara dan membuat kenyataan seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan. Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka?

"Satu perkataan sahaja yang anda harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu 'terima kasih'. Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja. Usah tunjuk kepada saya dan generasi sekarang yang anda semua sebagai orang lama susah hendak menerima bahawa masa dan dunia ini telah berubah. Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam FAM."

Pada minggu lalu, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan persaraan mereka bersama skuad negara, menerusi laman Facebook berkenaan.