Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM mempertimbangkan untuk meringankan hukuman larangan memohon lesen Kelab Bola Sepak Asia (AFC) ke atas pasukan Pahang.

Tegas beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), tempoh larangan selama dua tahun adalah terlalu lama.

“Saya berharap pasukan Pahang akan merayu keputusan jawatankuasa (tatatertib). Pasukan Pahang adalah sebuah pasukan yang hebat dan amat berpotensi.

“Mereka (Pahang) adalah pasukan yang hebat untuk mewakili negara dalam pertandingan AFC dan boleh membantu ranking pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook FAM di sini, hari ini.


Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap hukuman terhadap Pahang diringankan.


Hari ini, Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan melarang Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun bermula 2018 bagi menyertai mana-mana kejohanan AFC pada tahun 2019 dan 2020.

Ia susulan kedegilan skuad Tok Gajah enggan menyertai Piala AFC 2018.

BACA: Skuad Tok Gajah dilarang mohon lesen Kelab AFC selama dua tahun bermula 2018 - FAM

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, Pahang telah melanggar Artikel 14 (obligasi ahli) Statut FAM dengan gagal mematuhi arahan FAM untuk mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam pertandingan itu, walaupun menduduki tempat kedua Liga Super 2017 dan mempunyai kelulusan Lesen Kelab AFC yang melayakkan skuad Tok Gajah beraksi pada saingan peringkat benua itu.

Pahang juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, namun keputusan ini boleh dirayu