Tutup

Berita  | Sukan

TMJ mahu Stadium Sultan Ibrahim Larkin terbaik di Asia Tenggara

TMJ mahu Stadium Sultan Ibrahim Larkin terbaik di Asia Tenggara
TUNKU ISMAIL: Saya nak stadium ini jadi terhebat di Asia Tenggara... nombor satu terbaik, selain diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA.
JOHOR BAHRU: Padang berkualiti tinggi dan fasiliti kelas dunia merupakan dua elemen utama dititikberatkan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha menjadikan Stadium Sultan Ibrahim Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.

Stadium dijangka siap selewat-lewatnya Januari tahun depan itu akan menjadi gelanggang baharu juara Liga Super 2019, JDT yang melakar sejarah tersendiri dengan rekod kejuaraan enam kali berturut-turut sejak 2014.
Tunku Ismail menjelaskan dua elemen itu kunci utama kepada peningkatan mutu bola sepak sesebuah pasukan dan sebagai pemilik, beliau ingin memastikan JDT sentiasa berada di landasan tepat dengan memiliki infrastruktur setaraf pasukan terbaik dunia.

Kerja pembinaan Stadium Sultan Ibrahim Larkin giat berjalan. - Foto: johorsoutherntigers.com.my
"Saya nak stadium ini jadi terhebat di Asia Tenggara... nombor satu terbaik, selain diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA," katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pada masa sama, Tunku Ismail menyeru semua pasukan dan kelab memberi penekanan dalam aspek penyediaan padang berkualiti tinggi serta pusat latihan yang lengkap.

Tunku Ismail menjadikan Selangor dan Terengganu FC sebagai contoh terbaik selepas kedua-dua pasukan mengambil langkah positif menaik taraf pusat latihan selain menumpukan fokus terhadap penjagaan kualiti padang dengan bajet berpatutan.

Bagaimanapun, beliau menyedari setiap pasukan mempunyai inisiatif tersendiri, namun berharap pemilik mahupun persatuan negeri meletakkan sukan itu sebagai keutamaan bagi terus memajukan bola sepak di negara ini.

"Saya harap kita sama-sama dapat majukan bola sepak Malaysia macam mana yang dah dibuat Selangor (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan TFC, saya ucapkan syabas kepada mereka.

"Saya berharap banyak lagi pasukan akan ikut benda sama dengan bajet antara RM1 dan 2 juta. Tidak perlu terlampau mahal tetapi pastikan ia digunakan bagi mendapatkan kualiti padang dan juga pusat latihan yang bagus," katanya. 

-- BERNAMA


Tag: TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bola sepak, JDT, Stadium Sultan Ibrahim Larkin, johor darul takzim, stadium terbaik, asia tenggara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.