Walaupun Pahang hanya mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada saingan Liga Super malam ini, kejayaan itu merupakan satu sumbang besar bagi pasukan Tok Gajah untuk menyekat trofi elit dibawa ke seberang tambak.

Dengan tekanan tersebut Pahang membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merapatkan jurang dengan perbezaan dua mata di belakang pendahulu liga iaitu Lions XII yang kini mengumpul 35 mata selepas 17 perlawanan.

Lions XII bermula garang apabila kapten pasukannya, Shahril Ishak membuka jaringan seawal minit ke-10, namun usaha pasukan dari Singapura itu untuk pulang dengan mata penuh digagalkan menerusi gol penyamaan yang dihasilkan oleh Azammuddin Akil pada minit ke-90.

Di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan berstatus bintang Johor Darul Takzim (JDT) mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team.

Dua gol pasukan yang terkenal dengan gelaran 'Harimau Selatan' itu dijaringkan oleh Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-53 dan Leonel George Nunez pada minit ke-68.

Gol gol saguhati T-Team disumbangkan oleh Mohd Badrul Hisyam Morris pada minit ke-33.

Terengganu turut mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan Perak 3-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Gol Terengganu dijaringkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-18, Mohd Fakrurazi Musa (minit ke-66) dan Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi pada minit ke-88 (penalti).

Sementara itu dalam saingan Liga Perdana, Sarawak sebagai pendahulu liga berpesta gol apabila membenam pasukan tercorot Betaria FC 7-0 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Zamri Morshidi pada minit ke-28 diikuti empat gol yang dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-39, 46, 53 dan 91.

Sarawak menambah duka Betaria FC apabila Guy Bwele menjaringkan gol keenam pada minit ke-66 sebelum Muamer Salibasic menutup tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76.

Sime Darby turut mencatat kemenangan besar apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Penyerang berbisa Sime Darby, Karlo Primorac menjadi wira pasukan apabila melakukan hatrik dengan jaringan pada minit ke-43, 48 dan 67.

Manakala dua lagi gol Sime Darby dajiringkan oleh Syafiq Jamal pada minit ke-82 dan Dzulfahmi Hadi seminit kemudian.

Johor pula mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol Johor dajaringkan oleh See Kok Luen pada minit ke-51, Mohd Alif Mohd Yusof (minit ke-81) dan Mohd Farid Ideris pada masa tambahan manakala dua gol PDRM disumbangkan oleh Mohd Khairul Akhyar pada minit ke- 47 dan 76.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah.
Pasukan lain yang turut mengutip tiga mata penuh ialah pasukan Kedah yang mengalahkan S.P.A Putrajaya FC 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

UiTM FC pula mencatat kemenangan tipis 2-0 ke atas Perlis di Stadium UiTM Shah Alam.