Kejayaan pasukan bola sepak Kedah menjuarai Piala FA 2019 terus diraikan apabila trofi itu dibawa untuk tatapan peminat sukan nombor satu itu yang berada di pulau peranginan bebas cukai ini.

Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Fuad Abdullah berkata, trofi kejuaraan itu akan berada di Langkawi bermula hari ini hingga Selasa (3 Sept).

"Selepas Kedah menjuarai Piala FA 2019, saya sebagai Ahli Majlis Eksekutif KFA yang berasal dari Langkawi fikir tidak salah kiranya piala ini dibawa balik ke pulau ini. Di atas kelulusan KFA kita berjaya dan diberi kebenaran membawa pulang Piala FA untuk ditonton kepada peminat dan penyokong Kedah yang berada di pulau ini.

"Pelbagai program diatur seperti hari ini Piala FA dipertonton di Hotel Adya Langkawi, Kuah bermula 5 petang hingga 10 malam ini.

"Semua peminat yang ingin melihat secara dekat serta mengambil gambar dialu-alukan untuk datang," katanya ketika ditemui di hotel itu pada Ahad.

Mohd Fuad berkata trofi itu akan diletakkan di depan Pejabat Ahli Parlimen Langkawi, Kuah bermula 9.00 hingga 10 pagi.

"Trofi itu kemudian akan diarak ke Dataran Chenang untuk dipamerkan di sana bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, Pejabat Adun Ayer Hangat (2.00 petang), Padang Bola Pasir Hitam (3.30 petang) dan Padang Bola Ladang Sungai Raya, Kisap (5.30 petang)," katanya.

Beliau berkata pada Selasa piala itu akan dipertontonkan sekali lagi di Hotel Adya Langkawi, Kuah bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Sebagai rekod Kedah muncul juara Piala FA 2019 selepas menundukkan Perak 1-0 menerusi jaringan pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Julai lepas. -- Bernama