"MFL tidak tegas?" itu persoalan yang diluahkan pengurus PDRM, Kamarul Ariffin Mohd Shahar, yang mempersoalkan keputusan menunda perlawanan melibatkan PDRM dan Sarawak petang Selasa sebagai tidak telus.

Keputusan menunda perlawanan itu diumumkan komisioner perlawanan, Abd Rais Mohd Shaarani, tepat jam 6 petang selepas tiada tanda-tanda hujan dan kilat akan reda.

Bagaimanapun, ada rasa tidak puas hati di pihak PDRM, merujuk kepada perbincangan berat sebelah yang dibuat pihak komisioner sebelum perlawanan.

Kamarul Ariffin turut melabel pihak penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tidak tegas untuk menguruskan situasi yang berlaku di Stadium Selayang itu.

"Apa guna MFL sebagai penganjur saingan bola sepak Malaysia? Kenapa perbincangan harus dilakukan terlebih dahulu sebelum menunda perlawanan?" soal Kamarul Ariffin.

Ada unsur berat sebelah apabila perbincangan yang berlaku lebih mengutamakan situasi Sarawak dan hal itu membuatkan PDRM berasa terpinggir.

"Saya amat kecewa dengan keputusan tetapi ia dilihat berat sebelah."