CRISTIANO Ronaldo mencuri tumpuan sekali lagi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di mana pemain itu menjaringkan gol yang menakjubkan untuk membantu Real Madrid menang 3-0 di Turin ke atas Juventus.

Ronaldo turut muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam 10 perlawanan UCL berturut-turut selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan suku akhir pertama awal pagi tadi.

Stadium turut bergema memberi penghormatan kepada pemain Portugal itu yang kini menjaringkan 14 gol dalam kejohanan tertinggi peringkat Eropah itu hasil persembahan menakjubkan yang dipamerkannya.

Perkara yang sama dibuat penyokong Real Madrid pada 2008, apabila pemain Juventus, Alessandro Del Piero menerima tepukan gemuruh oleh penyokong Madrid di Santiago Bernabeu.

Del Piero mempamerkan persembahan yang menarik untuk menjaringkan dua gol dari jarak jauh, sekaligus membantu pasukannya menewaskan Madrid 2-0.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Ronaldo membuka jaringan seawal minit ke-3 apabila menyudahkan hantaran lintang Isco dari kiri padang, sebelum meledak gol kedua Madrid dengan sepakan gunting pada minit ke-64.

Gol tersebut turut mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong Juventus dan Ronaldo sendiri kelihatan seakan tidak percaya berjaya menjaringkan gol menerusi gerakan tersebut.

Marcelo kemudian menjaringkan gol ketiga Madrid untuk pasukan Los Blancos itu membawa bekalan selesa menjelang perlawanan suku akhir kedua di Santiago Bernabeu pada 11 April nanti.

Madrid yang belum pernah menang ke atas Juventus dalam pertembungan 180 minit dilihat pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir.

Ini bukan sahaja kerana Madrid mempunyai kelebihan tiga gol untuk dibawa pulang, malah ketiadaan penyerang utama Juventus, Paulo Dybala, akibat dilayangkan kad merah awal pagi tadi, turut menyukarkan misi kebangkitan pasukan itu.

Saksikan sorotan perlawanan itu di saluran YouTube Stadium Astro.