PENYOKONG pasukan bola sepak terbaik Eropah sudah tentu berdebar menanti undian suku akhir bagi Liga Juara-Juara Eropah UEFA (UCL) yang akan berlangsung pada malam ini (Jumaat).

Empat wakil England, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur berjaya melangkah ke suku akhir bersama Juventus (Itali), Barcelona (Sepanyol), Ajax Amsterdam (Netherlands) dan FC Porto (Portugal).

Setiap penyokong berkongsi harapan mereka bagi undian tersebut dengan kebanyakan penyokong mahu pasukan mereka bertemu pasukan yang dianggap lebih mudah untuk ditewaskan seperti Ajax dan Porto.

Penyokong the Red Devils sudah pasti tidak mahu bertemu Barcelona namun teruja jika dapat bertemu jiran mereka, City kerana jika diundi bersama, empat perlawanan antara dua pasukan itu akan berlangsung pada April.

Bagaimanapun ramai juga berpendapat, kemungkinan setiap wakil dari England akan diundi sesama sendiri dengan Liverpool, bakal diundi menentang Manchester City seperti musim lepas.

Pada musim lepas, naib juara, Liverpool menang kedua-dua pertemuan dengan City di suku akhir, dengan agregat 5-1.

Dalam laman web The Busby Babe milik penyokong United, 54% mahu pasukan itu bertemu Porto di suku akhir, sementara laman Liverpool Echo mendapati 56% pembacanya juga mahu the Reds bertemu Porto.

Ajax menjadi pilihan kedua penyokong setiap pasukan, sementara Barcelona dan City menjadi pilihan terakhir untuk diundi bersama di suku akhir.

Undian bagi Liga Juara-Juara Eropah UEFA (UCL) akan disiarkan secara langsung di Astro Supersport saluran 814, 841 pada Jumaat, 15 Mac bermula 7 malam.